APA ITU SOLAT?

    Makna solat dari segi bahasa ialah doa. Dan solat daripada pengertian syarak pula ialah beberapa ucapan dan perbuatan tertentu yang diawali dengan takbir dan diakhiri dengan salam.

  Solat merupakan tiang agama dan rukunnya. Sesiapa yang melaksanakan solat nescaya dia telah menegakkan agama dan sesiapa yang meninggalkan solat nescaya dia telah menghancurkan agama.

Sabda Rasulullah SAW:

"Pangkal perkara adalah Islam, tiangnya solat dan cabang-cabangnya jihad."(HR. Tarmizi)

    Hadis di atas membawa makna kepada pangkal perkara adalah Islam yang sangat penting bagi manusia di kehidupan dunia dan di akhirat. Islam merupakan hal yang pertama sekali wajib bagi manusia memerhatikannya dan menjalankan perintah dan hukum-hakamnya.

    Tiang untuk menegakkan agama ini adalah solat dan untuk meninggikan amalan di dalamnya ialah dengan berjihad, kerana jihad itu menjaga kehormatan, menyiarkan Islam dan menaikkan dari seluruh agama agama yang ada.

Rasulullah SAW juga bersabda:

"Islam dibina berpandukan lima perkara: mengucapkan syahadah bahawa tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad utusan Allah, mendirikan solat, membayar zakat, menunaikan haji dan berpuasa pada bulan Ramadan."(HR Bukhari dan Muslim)

    Hadis ini memberitahu bahawa agama Islam itu dibina berpandukan lima tiang. Dengan adanya tiang, maka dapat ditegakkan dinding suatu bangunan dan dapat diletakkan bumbung di atasnya. Apabila tiang-tiang ini roboh maka hancurlah seluruh dinding dan bumbungnya.



Comments